Tuesday 4 April 2017

Pemakanan Halalan Toyibbah Membentuk Rohani Yang Sihat

Pemakanan Halalan Toyibbah Membentuk Rohani Yang Sihat: Pandangan Imam Ghazali
ABSTRAK
Makanan adalah salah satu sumber asas dalam kehidupan. Setiap manusia yang bernyawa perlukan makanan untuk terus hidup. Kini masyarakat telah mula mengambil berat mengenai setiap makanan yang di ambil untuk memastikan tubuh badan mereka terhindar dari penyakit. Namun dalam keghairahan manusia memilih makanan yang berkualiti untuk kesihatan badan mereka, ramai yang terlepas pandang akan perkaitan makanan yang di ambil dalam pembentukan rohani mereka. Maka dengan itu kertas kerja ini akan membincangkan pandangan Imam Ghazali mengenai kepentingan menjaga pemakanan yang halal menurut Islam. Kesan daripada penjagaan makanan yang halal dan toyyibah maka terbentuklah rohani yang sihat.
KATA KUNCI: Pemakanan, Halal Toiyyibah, Rohani. 

1. PENDAHULUAN
Makanan merupakan aspek penting dalam kehidupan. Semua makhluk memerlukan makanan dan minuman untuk meneruskan kehidupan kerana ia mengandungi pelbagai bahan yang membekalkan khasiat kepada badan manusia bagi menjana tenaga, mengekalkan kehidupan dan merangsang pertumbuhan badan. Selain itu, aspek gizi dan pemakanan juga memainkan peranan penting bagi pembentukan akhlak dan rohani seseorang. Dewasa ini, kita digemparkan dengan kejadian bebola ikan yang dihasilkan daripada daging ular. Ini menimbukan kebimbangan dalam kalangan masyrakat terutamanya mereka yang bergelar muslim.

2. KAJIAN LITERATURE
Seperti yang kita sedia maklum, gizi dan pemakanan mampu mempengaruhi kerohanian dan akhlak seseorang. Gizi memainkan peranan penting dalam kesihatan seseorang. Shihab mengatakan “bahawa adalah merupakan kewajiban seseorang untuk memelihara jasmani sehingga dapat berfungsi sebagaimana mestinya” (Kartubi). Rasulullah SAW bersabda:

“sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu”.
Islam telah menetapkan bahawa asal sesuatu itu adalah harus kecuali terdapat hukum dan hujah yang menyatakan haram dan halal sesuatu perkara itu. Islam bukan hanya menitik beratkan kepentingan makanan yang seimbang semata-mata tetapi juga turut menekankan pemilihan bahan-bahan makanan yang halal menurut syarak. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
  • “Makanlah yang baik-baik dan berbuatlah amal soleh.”(Al-Mu’minum:51)
  • Al-quran telah mensyaratkan bahawa sesuatu makanan yang berkualiti dan tinggi nutrisi itu dinilai melalui dua aspek penting iaitu halal dan baik. Sebagaimana firman-Nya:
  • “Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah rezekikan kepadmu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya”. (QS al-Maidah ayat 88).
Imam Al-Ghazali berpesan dalam soal penjagaan makanan anak-anak dengan katanya “Hendaklah dijaga makan dan minum yang sesuai untuk dimakan dan diminum. Tidak mengapa jika makanan itu kurang enak asalkan halal.” (Siti Norlina, 2005). Ini membuktikan betapa Islam menitikberatkan aspek halal dan baik dalam pemakanan seorang muslim. Islam meletakkan sesuatu perkara itu bersesuaian mengikut keadaannya. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan halal itu? Menurut Kamus Dewan Edisi keempat (2005:502)“ menjelaskan halal ialah hukum membenarkan sesuatu perbuatan dilakukan (dalam Islam), diperbolehkan (tidak ditegah oleh syarak), diizinkan, dibenarkan” ( Salma).

Terdapat beberapa garis panduan dalam menentukan halal sesuatu produk atau makanan itu:
  • Bukanlah terdiri daripada atau terkandung di dalamnya apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.Tidaklah terkandung di dalamnya apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak. 
  • Tidaklah disedia, diproses atau di kilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut hukum syarak.
  • Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak garis panduan a, b, dan atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
Halal dan haram sesuatu perkara itu berbeza mengikut bangsa dan agama. Islam melarang umatnya mengambil makanan yanng mengkhayalkan, melemahkan ingatan dan apa sahaja yang boleh memudaratkan kesihatan. Islam tidak mengharamkan pengambilan makanan dan minuman selagimana ia tidak memabukkan. Yusuf Qardawi berkata “ untuk jenis ini, Islam tidak mengharamkannya melainkan jika ia sudah menjadi arak, samada ia diperbuat dari perahan anggur, kurma, gandum atau apa sahaja bahan lain selama ia menjadi sesuatu yang memabukkan.” (Dr. Yusuf al-Qardhawi, 1993)

Walaubagaimanapun, perbahasan hebat berlaku bilamana kita membincangkan pengambilan makanan yang berasaskan daging haiwan. Secara amnya, terdapat empat jenis daging haiwan yang diharamkan dalam Islam, iaitu darah yang mengalir, bangkai binatang, babi serta haiwan yang disembelih bukan kerana Allah. Al-quran secara umumnya melarang umat Islam daripada memakan empat perkara ini kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan bagi tujuan memuliakan manusia.

Allah telah menjelaskan secara terperinci bahwa terdapat sepuluh jenis makanan yang berasaskan daging yang diharamkan di dalam Islam. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat diatas menerangkan bahawa terdapat 10 jenis daging yang diharamkan di dalam Islam iaitu bangkai, darah yang mengalir, daging babi, binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah, binatang yang mati kerana dicekik (Al-Munkhaniqah), binatang yang mati kerana dipukul dengan tongkat dan sebagainya (Al-Mauqudzah), binatang yang jatuh dari tempat yang tinggi sehingga mati (Al-Mutaraddiyah), binatang yang ditanduk oleh binatang lain sehingga mati (An-Nathihah), binatang yang diterkam oleh binatang buas dengan dimakan sebahagian dagingnya sehingga mati (Maa akalas sabu) kecuali yang sempat kamu sembelih ketika ia masih hidup ( nyawa-nyawa ikan), binatang yang disembelih untuk berhala (maa dzubiha alan nusub). “ Secara umumnya binatang yang diharamkan untuk dimakan itu ada empat jenis,dan secara terperincinya sebanyak sepuluh jenis” (Yusuf al-Qardhawi 1993 dan al-Ghazali 2000).

Islam mengharamkan bangkai dan darah yang mengalir bagi memuliakan manusia. Mereka yang mempunyai akal fikiran tidak akan sesekali memakan bangkai melainkan ketika di dalam keadaan yang benar- benar darurat kerana sifat bangkai yang jijik dan kotor. Islam merupakan agama yang menitikberatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Pegambilan makanan yang berkhasiat dan toyyiban ini mampu melatih diri menjadi seorang hamba yang suka beribadat dan bertakwa kepada Allah. Ia juga mampu melihatkan modul insan yang cergas jasmani dan cerdas rohani. Pepatah arab mengatakan, “akal yang cerdas berpunca daripada jasmani yang sihat”. Untuk melahirkan tubuh badan yang cergas, seseorang itu perlulah peka dengan kriteria pemakanan yang telah ditetapkan dalam Islam. Al-Quran mengariskan prinsip halal dan baik sebagai syarat makanan yang berkualiti dan bernutrisi tinggi.

Antara manfaat mengamalkan pemakanan halal adalah seseorang itu memperolehi kekuatan untuk melakukan amalan-amalan soleh dan anggota badan akan mentaati akal. Imam Al Ghazali menceritakan “mengenai percakapan seorang wali, Suhail, iaitu : "Apabila seseorang itu makan makanan yang haram, anggota badannya enggan untuk mengikuti pemikirannya". Dalam erti kata lain, akal akan memerintahkan tubuh badan melakukan amal soleh tetapi anggota tubuh badan enggan melakukannya. Walaubagaimanapun, keadaan ini hanya mampu dilihat oleh hamba Allah yang mempunyai hati dan pemerhatian yang telah disinari oleh cahaya petunjuk Allah (Siti Norlina, 2005).

Isu pemilihan makanan ini tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakt kerana ia mampu memberikan impak besar kepada pembangunan rohani dan jasmani seseorang individu itu. Menurut Imam Al-Ghazali “tiada jalan lain untuk menemui Allah SWT dengan sejahtera dan selamat melainkan dengan ilmu pengetahuan dan amal perbuatan yang baik dan tidak mungkin mereka dapat mengekalkan ilmu dan amal kecuali dengan kesihatan tubuh badan. Manakala keselamatan tubuh badan pula tidak mungkin tercapai kecuali dengan makan sekadar yang diperlukan sahaja” [Al-Ghazali, 2011 dan Aemy Liza& Arieff Salleh]. Ini bertepatan dengan pendapat Mohd Amri yang mengatakan masyarakat Islam perlu menjaga kehalalan makanan kerana sumber makanan yang haram akan turut mencacat-celakan keturunan. Menurut beliau, ada pihak yang menyatakan generasi orang Islam hari ini sebagai generasi strawberi, lemah dan rosak akhlak."Buah strawberi itu lembik, tidak boleh diusik, ini semua berpunca daripada makanan. Kita mesti beratkan makanan yang halalan toyyiba.(Salma, 2011)

Hikmah larangan mengambil makanan haram bagi mengelakkan seseorang itu ditimpa musibah dan kesakitan. Makanan yang haram mengandungi nutrisi yang kurang dan mampu membawa kemudaratan kepada manusia. Sebagai contoh, Islam melarang umatnya daripada memakan babi kerana gaya pemakananya yang kotor. Kajian mendapati bahawa babi mempunyai kandungan asid urik yang tinggi dimana ia boleh membawa kemudaratan dan penyakit kepada manusia selain menyebabkan hati seseorang itu menjadi gelap. Ini kerana apa yang dimakan dan cara makan akan membentuk hati dan jiwa, dapat menyalurkan kekuatan dan menjadi jalan atau wasilah kepada agama (al-Ghazali, 2004: 108-121)

Makanan halalan toyyiban memberikan kesan yang mendalam kepada fizikal, mental dan spiritual seseorang individu itu. Setiap individu memerlukan nutrien dalam tubuh badan mereka. Nutrien ini dapat dihasilkan daripada bahan makanan seperti sumber haiwan dan tumbuhan. Apakah fungsi nutrien dalam tubuh badan kita? Untuk mendapatkan fizikal tubuh badan yang berkualiti dari segi petumbuhan, pergerakan, pemikiran dan pembiakan, seseorang itu hendaklah mengamalkan pengambilan nutrien yang seimbang dan berkualiti dalam setiap hidangan mereka. Makanan yang berzat menjadian kanak- kanak itu seorang yang pintar dan tahan lasak. Berlainan pula dengan kanak-kanak yang mengamalkan pemakanan tidak berzat, mereka akan menjadi pasif atupun terlampau aktif. Tahap kecergasan tubuh badan mereka juga akan menjadi lemah yang mana ia menyebabkan kanak-kanak itu lebih mudah terdedah kepada penyakit.

Dari segi mental pula, kajian mendapati kualiti makanan, amalan pengambilan diet seimbang serta jadual pemakanan yang betul dan konsisten mampu mempengaruhi kecermelangan pelajar. Jadual pemakanan yang konsisten memainkan peranan penting dalam penilaian kecerdasan mental sesorang itu. Mereka yang tidak teratur jadual pemakanannya kerana sibuk dengan urusan persatuan ataupun sibuk dengan tugasan yang diberikan oleh guru lebih cenderung mengalami masalah kemurungan seterusnya memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan fizikal pelajar. Selain itu, makanan halal juga mempengaruhi mental seseorang. Emosi mereka lebih stabil berbanding mereka yang mengambil barangan haram dan terlarang. Sebagai contoh, peminum arak dan penagih dadah akan hilang kewarasan akalnya kerana mengambil dan meminum sesuatu yang mengkhayalkan serta boleh menhilangkan ingatan mereka. Hal ini seterusnya boleh membawa kepada penyakit serta kecelakaan seperti kejadian rompak, ragut, bunuh dan sebagainya.

Cara pemakanan individu juga memberi impak besar kepada pembentukan akhlak diri dan spiritual seseorang. Jika baik makanannya, maka baiklah akhlaknya, begitulah sebaliknya. Allah mewajibkan hambanya mencari sesuatu yang halal untuk kegunaan dalam kehidupan seharian mereka. Sebagaimana kita maklum , makanan halal itu merupakan cahaya penerang bagi hati. Antara pandangan yang diulang-ulang oleh al-Ghazali ialah “makanan yang halal dan baik akan memberi kekuatan dan dorongan untuk beribadah manakala makanan yang haram akan menjadi penghalang (hijab) dari melakukan taat” (Zulkiple & Nur Salimah, 2006). Makanan yang datang dari sumber haram ataupun diperbuat daripada perkara haram mampu menggelapkan hati dan melenyapkan cahaya keimanan seseorang. Dewasa ini, kita sering melihat masyrakat kita mengambil makanan secara berlebihan dan mengamalkan amalan pembaziran makanan. Apabila badan kita menerima makanan secara berlebihan , badan akan mula menjadi lesu dan mudah mengantuk, seterusnya menyebabkan kita merasa malas untuk beribadah kepada Allah. Ibn al Qayyim al Jauziyah berkata, " Sesungguhnya perut jika dipenuhi dengan makanan akan menyempitkan ruang untuk minuman dan sekiranya perut itu dipenuhi dengan minuman, akan menyempitkan ruang untuk nafas dan terdedahlah baginya kesakitan dan keletihan dan jadilah keadaannya seperti pemikul barang yang amat berat.” (Aemy Liza& Arieff Salleh)

Makanan berperanan penting dalam pembentukan akhlak manusia dimana ia menjadi kayu ukur dalam menilai hubungan seseorang itu dengan Allah, sesama manusia dan juga makhluk. Hubungan manusia dengan Allah adalah penting dalam meneruskan kelansungan hidup. Sesiapa yang tidak menjaga hubungan ini, hidupnya tidak akan tenang dan sentiasa dalam kegelisahan. Di dalam kitab Ihya’ Ululumddin, Imam Ghazali telah memberikan kita panduan adab makan dan minum yang perlu dijaga sebelum, ketika dan selepas makan. Makanan yang kita makan itu hendaklah berpunca daripada bahan dan sumber rezeki yang halal di samping ianya dapat menguatkan badan agar kita dapat beribadah kepda Allah SWT serta menyumbang kepada kemaslahatan ummah. Kita juga diajar untuk memulakan perbuatan makan itu dengan bacaan doa dan basmalah. Seusai makan, kita diajar untuk mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda rasa syukur atas kurniaan Ilahi. Pembaziran serta pengambilan makanan secara berlebihan dilarang di dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada kemudaratan dan penyakit hati.

Menjaga adab makan dan minum dapat mengeratkan ukhwah sesama manusia. Kita digalakkan makan secara berjemaah dan makan di dalam satu pinggan untuk memperolehi keberkatan daripada Allah. Antara perkara yang dilarang ketika makan adalah melengahkan makan makanan yang telah terhidang serta mencela makanan kerana ia boleh menyinggung perasaan orang yang menyediakan makanan tersebut. Islam merupakan agama yang indah dan lengkap. Ia bukan sahaja menyuruh umatnya menjaga hubungan dengan Allah dan manusia, malahan aspek hubungan manusia dan makhluk juga dititikberatkan dalam memastikan keseimbangan hidup. Manusia dilantik sebagai khalifah di muka bumi bagi memastikan keamanan dapat dicapai. Selain itu , manusia juga berperanan sebagai pengelola alam untuk memakmurkan bumi, mengelola serta melestarikannya.

3. CONCLUSION
Kesimpulannya, makanan yang halal dan berkualiti mampu melahirkan insan yang cergas jasmani, cerdas akal fikirannya serta menbentuk akhlak peribadi yang mulia. Di samping itu, ia juga mampu mendekatkan lagi hubungan manusia dengan Allah,sesama manusia serta makhluk. Hati yang bersih berpunca dari sumber rezeki dan pengambilan makanan yang halal dan berkualiti. Jika semua individu mengamalkan cara hidup yang sihat, dunia akan menjadi aman dan bebas dari segala penyakit dan kemudaratan

RUJUKAN;
  • Al-Ghazali. (2011) “Mutiara Ihya’ ‘Ulumuddin, Imam Al-Ghazali”. Shah Alam, Selangor: Illusion Network,Edisi Terhad, Bab 11-17, hlm. 271
  • Siti Norlina Muhamad. (2005). Kecenderungan Ibubapa Muslim Terhadap Pemakanan Halal : Kajian di Skudai, Johor Bahru, Johor. Project Vote Code: 75170. UTM. 
  • Al- Ghazali. (2004). Minhaj alc Abidin. Terj. Abu Mazaya alHafiz. Johor Bharu: Jahabersa.
  • Zulkiple Abd Ghani & Nur Salimah Mansor. ( 2006). Penghayatan Agama Sebagai Asas Pembangunan Pelajar: Analisis Terhadap Beberapa Pandangan Al-Imam Al-Ghazali. Retrieved 27/2/2015 dari http://eprints.utm.my/375/1/ZULKIPLEABDGHANI2006_-Penghayatanagamasebagaiasaspembangunan.pdf
  • Azman Ab Rahman. Panduan Penentuan Makanan Halal Menurut Pandangan Ulama Serta Kesannya Terhadap Iks Muslim Di Malaysia.
  • Kartubi. Keutamaan Mengkonsumsi Makanan Halalan Thayyiba
  • Aemy Liza & Arieff Salleh. Makanan dan Kesan Pemakanan menurut Perpektif Islam.
  • Dr. Yusuf al-Qardhawi. 1993. Al-Halal Wal Haram Fil Islam.
  • Ruaain Bt Mustari. 1994. Kepentingan Penjagaan Makanan Dan Pemakanan Serta 
  • Implikasinya Terhadap Pembentukan Sahsiah Menurut Perspektif Islam.
  • Ghazali, M. A. & Md. Sawari, S. S. (2014). Amalan Standard Halal Di Negara-Negara Asia Tenggara. UMRAN International Journal of Islamic and Civilizational Studies 11/2014; 1(1):33-45.
  • Md. Sawari, S. S., Mustapha, N. I., & Ghazali. M. A. (2014a). The Impact Of Halal Food On Physical And Mental Health. International Seminar on Islamic Law, Economic, Education and Science Issues, Dewan Senat, Universiti Teknologi Malaysia. DOI: 10.13140/2.1.1291.4244
  • Ghazali, M. A. & Md. Sawari, S. S. (2014). Kajian Perbandingan Piawaian Halal antara Malaysia dan Negara Brunei. Social Sciences Postgraduate International Seminar. University Science Malaysia. DOI: 10.13140/2.1.2096.3520.
  • Salma Binti Mat Yasim. 2011. Makanan Halal:Kepentingannya Menurut Perspektif Islam

No comments:

Post a Comment